Makrifatullah (Mengenal Allah) Akan Mendatangkan Kebahagiaan dan Ketenangan Dalam Hidup


Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Makrifatullah atau mengenal Allah adalah perkara pertama yang harus disempurnakan oleh seorang muslim. Harus tertanam dalam hati dan sanubari kita bahawa Allah adalah 'Rabb' sekelian alam. Firman Allah S.W.T. maksudnya : "..dan Allah mengambil kesaksian terhadap ruh mereka (seraya berfirman), "Bukankah Aku ini Rabbmu (Tuhanmu)?" Mereka menjawab, "Betul (Engkau Tuhan kami), kami bersaksi." (Surah al-A'raf ayat 172) dan hadis nabi yang menyatakan bahawa jiwa manusia adalah fitrah.

Kayakinan ini harus bersandarkan kepada pelbagai dalil dan bukti yang kuat agar menghasilkan peningkatan iman dan takwa. Pengenalan kepada Allah S.W.T telah dikuatkan dengan banyak dalil. Beberapa dalil yang menguatkan kewujudan Allah S.W.T. tersebar di dalam dalil naqli. dalil aqli dan dalil fitri. Dalil-dalil ini akan menambah keyakinan kepada Allah S.W.T. dan keyakinan ini lahir dari pengenalan yang mantap terhadap Allah S.W.T.

Mengapa kita perlu mengenal Allah S.W.T? Kerana dengan mengenal Allah kita akan mendapatkan banyak kebaikan di antaranya adalah peningkatan iman dan takwa. Di samping dengan mengenal Allah akan melahirkan ketenangan, keberkatan dan kehidupan yang baik, serta di akhirat di balas dengan syurga Allah. Semua ini berakhir dengan keredaan Allah S.W.T.

Dengan mengenal Allah kita akan mengenal diri sendiri. Siapakan kita? Bagaimana kedudukan kita berbanding dengan makhluk-makhluk yang lain? Apakah sama misi hidup kita dengan binatang? Apakah tanggungjawab kita dan kemana akhir hidup kita? Semua pertanyaan ini akan terjawab secara tepat setelah kita mengenal Allah sebagai Rabb dan Ilah Yang Mencipta, Yang Menghidupkan, Yang Mematikan dan seterusnya.

Dengan mengenal Allah, kita akan mendapat banyak keuntungan di dunia dan akhirat. Oleh itu sangatlah perlu kita mengenal Allah. Apabila al-Quran menggunakan ayat perintah (sighah amar) maka wajib bagi kita menyambut perintah tersebut.

Firman Allah S.W.T maksudnya : "Maka ketahuilah, bahawa tidak ada Tuhan (yang patut disembah) selain Allah, dan mohonlah ampunan atas dosamu dan atas (dosa) orang-orang mukmin lelaki dan wanita. " (Surah Muhammad ayat 19)

Kata Rabb dalam al-Quran bererti bahawa Allah S.W.T sebagai Pencipta, Pemilik, Pemelihara dan Penguasa. Sedangkan kata Ilah mengandungi erti bahawa Allahlah yang Paling dicinati, yang Paling ditakuti dan sebagai sumber pengharapan

Tiga dalil menjelaskan kewujudan Allah S.W.T. adalah seperti berikit :

Pertama Dalil Naqli. (Dalil dalam al-Quran)

Begitu banyak dalili-dalil yang berada di dalam al-Quran menguatkan keberadaan Allah S.W.T sebagai Tuhan Pencipta, Pemelihara, Penguasa dan Pengatur alam semesta. Dalil naqli bererti rujukan yang berasal di dalam al-Quran. Allah S.W.T menjadikan Rasul Muhammad S.A.W. sebagai teladan dalam mengamalkan nilai-nilai al-Quran.

Firman Allah S.W.T maksudnya : "Dapatkah kamu benar-benar bersaksi bahawa ada tuhan-tuhan lain bersama Allah?" Katakanlah, "Aku tidak dapat bersaksi." Katakanlah, "Sesungguhnya Dialah Tuhan Yang Maha Esa dan aku berlepas diri dari apa yang kamu persekutukan (dengan Allah)." (Surah al-An'am ayat 19)

Kedua Dalil Aqli (Bukti Rasional)

Selain dikuatkan oleh dalil naqli yang berasal dari al-Quran maka wujud Allah dapat dibuktikan melalui pendekatan akal atau rasional. Kejadian langit, bumi dan pertukaran siang dan malam menjadi bukti bagi orang yang berakal. Al-Quran juga menjelaskan ciptaan-ciptaan Allah di bumi dan di langit serta kehebatan -kehebatan yang Allah miliki. Semuanya dapat diterima secara rasional.

Firman Allah S.W.T maksudnya ; "Sesungguhnya, dalam penciptaan langit dan bumi, dan pengantian malam dan siang, terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi orang yang berakal." (Surah Ali-Imran ayat 190)

Ketiga Dalil Fitri (Dalil Fitrah)

Kewujudan Allah S.W.T juga di akui secara fitrah oleh setiap manusia khususnya pengakuan Allah sebagai Rabb Pencipta alam semester. Hati nurani manusia yang cenderung kepada kebaikan dan kebenaran dapat mengarahkan individu untuk mengaku kewujudan Allah S.W.T.

Firman Allah S.W.T. maksudnya : "..dan Allah mengambil kesaksian terhadap ruh mereka (seraya berfirman), "Bukankah Aku ini Rabbmu (Tuhanmu)?" Mereka menjawab, "Betul (Engkau Tuhan kami), kami bersaksi." (Surah al-A'raf ayat 172)

Sahabat yang dimuliakan,
Apabila kita mengenal Allah dengan dalili-dalil yang kuat, maka hubungan kita dengan Allah menjadi lebih akrab. Apabila kita dekat dengan Allah, Allah akan dekat dengan kita. Setiap ayat Allah akan menjadi bahan berfikir dan penambahan keimanan dan ketakwaan. Di sini akan menghasilkan hamba yang merdeka, tenang, penuh keberkatan dan kehidupan yang baik. Syurga adalah tempat abadi yang telah dijanjikan oleh Allah bagi yang telah diredai-Nya.

Hasil dari pengenalan kepada Allah adalah bertambahnya iman dan takwa sehinggakan mendapatkan kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Di antara kebahagiaan dunia adalah dapat memberikan ketenangan, memberi keamanan, mendapatkan kebebasan, memperolehi keberkatan, menjadi pemimpin dunia, mendapat kehidupan yang baik. Manakala kebaikan akhirat kita akan dimasukkan ke dalam syurga dan mendapatkan keredaan dari Allah.

Mengenal Allah S.W.T bererti menyerahkan dirinya dan semua urusannya kepada Allah. Dengan mengenal Allah akan timbul keyakinan kepada takdir dan menjadikan diri kita hanya bergantung kepada Tuhan semester alam. Dengan demikian kita menjadi bebas dari segala tuntutan hawa nafsu yang dapat membelenggu diri kita dan juga lepas dari segala ikatan yang membuat kita sangat bergantung dan menjadi tidak aman.

Mengenal Allah menjadikan diri kita aman kerana hanya kepada Allah saja kita bergantung. Keimanan tanpa mencampuradukkan keyakinan dengan yang lain membuat diri kita bebas dari belenggu keduniaan sehingga merasakan bebas dari segala sesuatu yang tidak perlu dipertuhankan dan mempertuhankan hanya kepada Allah S.W.T saja.

Firman Allah S.W.T maksudnya : "Orang-orang yang beriman tidak mencampur adukkan iman mereka denga kezaliman (syrik), mereka itulah orang-orang yang akan mendapat keamanana dan mereka itu adalah orang-orang mendapat petunjuk."
(Surah al-An'am ayat 82)

Mengenal Allah akan menuntut kita untuk ingat kepada-Nya melalui zikir dan mengerjakan ibadah. Ketenangan kita diperolehi dengan mengingati-Nya.

Firman Allah S.W.T maksudnya : Orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah! hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram." (Surah ar-Ra'd ayat 28)

Allah S.W.T akan melimpahkan keberkatan kepada sesiapa saja yang beriman dan bertakwa. Ini merupakan janji Allah. Iman dan takwa hanya diperolehi apabila kita cinta, kasih dan sentiasa mengingati Allah S.W.T , melaksanakan perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya.

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita mengenal Allah S.W.T dalam ertikata yang sebenarnya. Mengenali sifat-sifat kesempurnaan Allah S.W.T. Jika hati dan jiwa kita sentiasa merasai bahawa Allah S.W.T. sentiasa memerhatikan dan megawasi seluruh kehidupan kita maka kita akan takut untuk melakukan dosa dan maksiat. Kerana janji Allah kepada mereka yang berdosa jika tidak bertaubat akan dimasukkan ke dalam neraka yang amat azab sekali, begitu juga janji Allah S.W.T akan mengurnikan balasan syurga kepada sesiapa yang beramal soleh dan sentiasa mentaat-Nya ketika hidup di dunia yang fana ini.

Comments

Popular posts from this blog

Meminang, dan Pantun... adat melayu kita~

GILA ISIM ITU BAHAYA.

Lagu Lama penuh pesanan.