BERNARKAH ANGKA 13 ADALAH NOMBOR SIAL?
Kisah Benar di New York
Apabila kerja-kerja pembinaan di 56 Leonard Street di Manhattan, New York, Amerika Syarikat (AS) siap sepenuhnya dua tahun lagi, bangunan pencakar langit itu bakal dilengkapi dengan pelbagai kemudahan termasuk kolam renang berkeluasan kira-kira 22.8 meter persegi dan ruang perpustakaan.
Bagaimanapun, menurut portal berita The Wall Street Journal, apa yang tidak dimiliki oleh bangunan mewah setinggi 60 tingkat itu ialah tingkat 13.
Situasi tersebut amat menghairankan tetapi itulah satu fenomena pelik yang terdapat di kebanyakan bangunan khususnya di negara-negara Eropah.
Satu kajian mendapati hanya lima peratus daripada 1,500 buah kondominium di Manhattan dan Brooklyn mempunyai tingkat 13.
Selebihnya menggelarkan tingkat dengan nombor ‘berhantu’ itu sebagai tingkat 14 supaya tiada penduduk yang terbeban kerana beralamatkan nombor malang itu.
Fobia Angka 13
Kajian mengenai fobia terhadap angka 13 itu digelar 'Triskaidekaphobia' manakala fobia terhadap tarikh 13 hari bulan yang jatuh pada hari Jumaat pula dikenali sebagai ‘paraskavedekatriaphobia’ atau ‘friggatriskaidekaphobia’.
Satu penyelidikan dalam Jurnal Perubatan British yang diterbitkan pada 1993, mendapati kadar kemalangan jalan raya meningkat pada hari Jumaat bertarikh 13 hari bulan berbanding hari Jumaat lain.
Menerusi jurnal tersebut, penulisnya membandingkan nisbah jumlah trafik kepada bilangan kemalangan kereta pada dua hari yang berbeza iaitu Jumaat keenam dan Jumaat ke-13 sepanjang tahun itu.
Salah seorang penulisnya, Scanlon TJ mendakwa kadar kemasukan ke hospital meningkat sebanyak 52 peratus pada hari Jumaat ke-13 berbanding hari-hari Jumaat lain.
“Jumaat ke-13 ialah hari malang bagi sesetengah individu. Risiko kemasukan ke hospital akibat kemalangan juga meningkat. Kami mengesyorkan adalah lebih baik untuk tinggal di rumah sahaja,” katanya.
Mitos Norse
Kepercayaan masyarakat Barat kononnya angka 13 sebagai nombor malang dikatakan berasal daripada mitos Norse yang bercerita tentang kisah 13 dewa menghadiri majlis santapan di Valhalla – sebuah tempat di mana roh pahlawan berani ‘pergi’ selepas mereka meninggal dunia.
Dikisahkan bahawa ketika 12 dewa lain sedang makan, datang Loki iaitu dewa yang tidak diundang ke majlis berkenaan.
Loki dianggap tetamu ke-13 pada majlis itu dan menjadi perancang utama pembunuhan Balder iaitu dewa kegembiraan. Kematian Balder dipercayai menyebabkan seluruh dunia menjadi gelap dan terjadinya musim sejuk pertama di dunia.
Fobia itu turut diperkuatkan lagi dengan beberapa kejadian aneh yang berlaku membabitkan hari Jumaat yang jatuh pada tarikh hari tersebut.
Antaranya ialah penahanan dan pembunuhan pasukan Knights Templar dalam Perang Salib yang berlaku pada hari Jumaat, 13 Oktober 1307 dan pemerintahan King Saxon Harold II berakhir selepas dia dibunuh oleh Duke of Normandy, William pada Jumaat, 13 Oktober 1066.
Selain itu, ekspedisi ke bulan menggunakan pesawat Apollo 13 dianggap gagal kerana ia menggunakan nombor 13 selain diterbangkan pada pukul 1.13 petang pada 11 April 1970.
Kesan dalam dunia moden
Fobia terhadap angka berkenaan turut melanda golongan profesional dan intelektual.
Akibatnya, ada pengusaha syarikat penerbangan yang tidak menyediakan kerusi penumpang bernombor 13, syarikat pembinaan yang tidak membina bangunan yang memiliki tingkat 13, pintu ke-13 atau premis bernombor 13.
Institut Fobia dan Pengurusan Tekanan AS di Utara Carolina menyatakan bahawa pelbagai industri di negara itu kerugian antara AS$800 hingga AS$900 juta pada hari Jumaat yang jatuh pada 13 hari bulan berikutan ramai penduduk enggan menaiki penerbangan atau keluar rumah pada hari itu.
Comments