Eh! Betol keeee??! Selfie Punca Remaja Hilang Keyakinan Diri, Kemurungan dan Masalah Mental

Hilang Keyakinan Diri, Kemurungan dan Masalah Mental Akibat SelfieSudah menjadi kebiasaan remaja moden (tidak ketinggalan orang dewasa) menjadikan media sosial sebagai platform utama atau rutin seharian.

Celik saja mata, laman Facebook, Instagram atau Twitter dijengah sebelum mula mandi.

Sudah pasti kebanyakan remaja akan melihat foto, video atau status rakan lain, malah individu tidak dikenali rapat seperti selebriti yang diikuti atau ‘follow’ dalam laman sosial masing-masing.

Namun tanpa disedari, ia sebenarnya menggugat perasaan tidak senang apabila melihat foto cantik rakan lain sehingga menyebabkan ada segelintir yang hilang keyakinan diri.

Selfie misalnya sepatutnya menjadikan hidup lebih ceria dan tidak mendatangkan bahaya, namun apabila wujudnya ketagihan selfie dan disfungsi penggunaan Internet, ia mendatangkan kebimbangan kepada pengguna media sosial itu sendiri. Pengasas bersama firma pemasaran media sosial yang kini mengkaji kesan laman sosial dalam tesisnya, Choo Mei Sze berkata, dunia belum menyaksikan kajian media sosial secara saintifik terutama berkaitan isu ketagihan selfie atau disfungsi penggunaan Internet.

“Disebabkan ia masih baru, belum ada kajian yang menyeluruh.

“Walau bagaimanapun, teknologi dan Internet sangat jelas menjadi alat yang bukan saja melakukan kerja, tetapi juga untuk komunikasi dan rangkaian sosial yang mempengaruhi kehidupan terbesar bagi remaja masa kini,” kata­nya.

Katanya, apabila remaja terlalu bergantung atau ketagihan media sosial, ia menjurus kepada masalah kesihatan mental seperti gangguan kompulsif keterlaluan (OCD), kemurungan, ketagihan judi dan alkohol, kegelisahan serta gangguan narsistik personaliti.

Selepas melakukan kajian terhadap evolusi media sosial, Choo menyedari trend negatif dalam dunia maya seperti buli siber, ‘Twitter-Ranting’ dan akhir-akhir ini ketagihan selfie keterlaluan.

“Pada masa ini, ketakutan terbesar saya adalah buli siber dan bagaimana ia memberi kesan kepada pelarasan psikososial iaitu sebahagian daripada kajian saja,” katanya.

Walau bagaimanapun menurutnya, terdapat masalah remaja yang lain sedang membangun pada kadar yang pesat berikutan ketagihan Internet atau selfie.

“Misalnya gangguan keresahan jika tidak ada yang ‘menyukai’ atau ‘Like’ gambar mereka atau bimbang jika tidak mempunyai pengikut di laman sosial,” katanya.

Menurutnya, bahkan ada yang sanggup tidak menjaga tabiat pemakanan sihat gara-gara mahu menjadi kurus dan cantik pada gambar yang meningkatkan kadar ‘Like’ pada gambar mereka.

Tetapi rakyat Malaysia suka selfie. Adakah ia sudah menunjukkan tanda disfungsi penggunaan Internet atau ketagihan selfie?

Secara umumnya Choo bersetuju.

“Saya pasti akan berkata demikian kerana secara peribadi, saya tahu ramai anak gadis atau baru meningkat dewasa yang sanggup menggadaikan nyawa semata-mata untuk kelihatan cantik dalam gambar atau kelihatan lebih Korea atau K-pop,” katanya.

Salah satu sebab utama adalah untuk menarik lebih ramai pengikut kerana mereka sedar bahawa gambar yang lebih bagus mampu merealisasikan hasrat gila terbabit.

“Selfie atau welfie sebenarnya boleh menjadikan kita masyarakat yang dangkal dan menggalakkan kita untuk mengalami gangguan personaliti narsistik bagi sesetengah orang,” kata Choo.

Beliau mengingatkan pengguna platform seperti Instagram, Facebook dan Twitter, malah semua peranti atau platform yang digunakan secara meluas untuk mengepos foto selfie perlu sedar jumlah penerimaan pengguna lain tidak menentukan kehidupan sosial keseluruhan atau populariti seseorang.

“Ada aplikasi seperti Cymera ditambah dengan ‘make-up’ dan pembedahan yang menjadikan wajah sesiapa saja yang cantik seperti anda lihat dalam Instagram.
“Jadi anda seharusnya sedar foto yang dilihat di Instagram tidak semestinya benar kerana individu boleh menyuntingnya,” katanya.

Namun Choo berkata, tiada salahnya menggunakan Instagram yang boleh mendatangkan nilai positif pada masa yang sama.

“Jika anda mengepos gambar, tambah ‘caption’ yang menunjukkan betapa pentingnya foto selfie itu kepada anda berbanding hanya foto tanpa ‘caption’ tidak menunjukkan makna tertentu,” cadangnya.

Menurutnya, mendapatkan ‘Like’ dan pengikut bukanlah misi utama, sebaliknya mengambil Instagram sebagai jendela kepada kehidupan anda untuk berkongsi dengan orang tetapi bukan untuk mendapat kemasyhuran dan populariti.

Jika seseorang merasakan dia di ambang ketagihan, Choo mencadangkan beberapa tip.

“Pertama, jangan lihat Instagram setiap jam untuk memeriksa sama ada anda mempunyai pengikut atau ‘Like’ baru pada foto anda.

“Tidak perlu untuk menjadi cemburu atau iri hati terhadap orang yang anda lihat di Instagram kerana apa yang mereka tunjukkan mungkin bukan realitinya,” katanya.

Selain itu Choo berkata, pengguna tidak perlu memberi tumpuan kepada Instagram atau mana-mana media sosial yang banyak sehingga membazir masa berbanding melakukan aktiviti lain pada masa lapang.

“Akhir sekali, kurangkan melihat telefon ketika bersama orang lain, ambil masa yang ada untuk berkomunikasi,” tegasnya.

Walaupun tidak terdapat kes ketagihan selfie melampau kedengaran di Malaysia, Choo menekankan terdapat satu insiden di United Kingdom yang membabitkan seorang remaja 19 tahun, Danny Bowman cuba membunuh diri apabila beratus-ratus selfie beliau dianggap tidak cukup baik.

“Bowman tidak mendapat pengikut yang diinginkan daripada rakan Instagram.

“Dalam temu bual dengan akhbar, remaja itu mengakui menghabiskan masa berjam-jam untuk menyiapkan diri sebelum merakam 200 foto selfie sehari, namun kecewa kerana dia bukan saja dipuji tetapi penampilannya diejek,” katanya.

Menurut Choo, kes Bowman mempunyai persamaan dengan ketagihan selfie apabila kerap memeriksa telefon setiap kali nada dering berbunyi.

Kes Bowman terbabit juga boleh dikategorikan sebagai buli siber yang boleh mengakibatkan kemurungan kepada individu terbabit.

Kajian syarikat telekomunikasi DiGi Telecommunications Sdn Bhd (DiGi), CyberSecurity Malaysia dan Kementerian Pendidikan melalui program CyberSAFE yang dijalankan terhadap pelajar sekolah di Malaysia mendapati 27 peratus pelajar mengakui mereka sering dibuli dalam aktiviti Internet.

Lebih membimbangkan, 13 peratus daripada angka awal tadi turut mengakui mereka dibuli setiap hari di Internet.

Ketua Strategi dan Pegawai Hubungan Korporat DiGi Christian Thrane berkata, peningkatan penggunaan Internet turut menyumbang kepada kes buli ‘online’.

Menurutnya, jenis buli yang dikesan termasuk penghantaran mesej nakal seperti mengejek nama dan menggodam akaun laman sosial orang lain.

“Internet memainkan peranan penting dalam bidang pendidikan pada masa sekarang, namun ia juga dimanipulasi dengan kegiatan tidak bermoral,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia Dr Amirudin Abdul Wahab berkata, lebih 407 kes buli siber dicatatkan dari Januari hingga Oktober 2013 berbanding 300 kes pada keseluruhan tahun 2012.

“Kami juga ingin mengingatkan angka terbabit mungkin lebih tinggi memandangkan ada yang tidak melaporkannya secara rasmi,” katanya.

Beliau berkata, beberapa tindakan susulan termasuk laporan polis turut dibuat selepas aduan diterima CyberSecurity Malaysia lapor Harian Metro.

Comments

Popular posts from this blog

Meminang, dan Pantun... adat melayu kita~

GILA ISIM ITU BAHAYA.

Lagu Lama penuh pesanan.